Format Karangan Jenis Surat Rasmi

Alamat Pengirim   
:  Hendaklah ditulis di sebelah kiri atas surat.

Garis Panjang Melintang
:  Di bawah alamat pengirim.
Nama dan Alamat Penerima
:  Ditulis di bawah garis melingtang; baris akhir alamat dibubuh garis
Tarikh              
:  Ditulis di sebelah kanan surat; sebaris dengan baris akhir alamat penerima;

Panggilan Hormat    Penerima
:  Ditulis di bawah alamat penerima dan dibubuh koma

Perkara
: Ditulis selepas panggilan hormat penerima dan digarisi. Huruf besar digunakan pada setiap awal kata dan tiada noktah (.)

Perengan/Isi        
: Perenggan pertama dan akhir tidak dibubuh nombor dan ditulis dari tepi surat. Hanya perenggan kedua dan seterusnya dibubuh nombor dan ditulis jarak sedikit dari nombor

Pengakuan dan Tanda Tangan Pengirim
:  Ditulis di bahagian kiri bawah surat

Nama dan Jawatan Pengirim
:  Nama ditulis selepas tanda tangan dengan huruf besar sepenuhnya dan dibubuh kurungan


Contoh:
No.56, Blok K, Felda Palong 8,
73470 Gemas,
Negeri Sembilan.                                                                                                     

___________________________________________________________________________

Encik Kamarudin bin Ngah,
Guru Kelas Tahun 6 Satria,
Sekolah Kebangsaan Palong 8 (F),
73470 Gemas,
Negeri Sembilan.                                                                                                       14 Mei 2012

Tuan,

TIDAK DAPAT HADIR KE SEKOLAH


Saya Zakwan bin Mohd Ali, murid Tahun Enam Satria tidak dapat hadir ke sekolah pada hari Isnin, 15 Mei 2012.

2.        Hal ini demikian kerana saya terpaksa mengikut ibu bapa membawa nenek saya ke Hospital Besar Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan pada hari tersebut.

3.       Saya dihantar oleh bapa saya untuk ke sekolah. Oleh yang demikian, tiada sesiapa yang dapat menghantar saya ke sekolah kerana bapa saya akan pergi ke Kuala Lumpur pada hari tersebut.

4.        Untuk pengetahuan cikgu, saya anak tunggal dalam keluarga saya. Manakala, ibu bapa saya pula tidak pasti bila mereka akan sampai semula ke rumah setelah selesai urusan di hospital itu nanti. Saya khuatir kerana tiada sesiapa yang menemani saya di rumah apabila saya pulang dari sekolah nanti.
5.        Kerjasama serta pertimbangan cikgu atas sebab-sebab yang saya berikan amat saya hargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian, terima kasih.

Yang Benar,

Zakwan
(ZAKWAN BIN MOHD ALI) 

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------ 

Format Karangan Jenis Surat Tidak Rasmi

Alamat Pengirim   
:  Hendaklah ditulis di sebelah kanan atas surat.

Tarikh              
:  Ditulis di bawah alamat pengirim; dilangkau satu atau dua baris kosong.

Pembuka Kata
:  Berupa kata-kata pengharapan.

Kata Ganti Diri Penerima
: Ditulis di sudut kiri surat.

Pendahuluan
: Berupa ucapan terima kasih; tujuan surat ditulis.

Perengan/Isi        
: Ditbahagi-bahagikan kepada beberapa perenggan.

Penutup     
:  Ditulis sejajar dengan pembuka kata.

Pengakuan Pengirim dan Tandatangan 
:  diletakkan di sebelah kanan bawah surat

No. 12, Taman Seri Intan,
                                                                                                        73400 Bahau,
                                                                                                         Negeri Sembilan Darul Khusu,

                                                                                                         26 Mac 2012


Menemui sahabatku Amirah yang kini berada di Kedah, semoga dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga. Saya dan keluarga di sini sihat-sihat sahaja.

Sahabatku,
               Apa khabar saudara sekarang? Bagaimana dengan persediaan saudara untuk menghadapi peperiksaan UPSR yang akan kita hadapi pada bulan Ogos nanti? Untuk pengetahuan saudara, saya telah membuat beberapa persediaan bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Antara persediaan yang saya buat ialah mengulang kaji pelajaran dari pukul 8.00 malam hingga pukul 11.00 malam setiap hari.

              Semasa belajar di kelas pula, saya akan menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pengajaran guru. Jika pada masa itu saya kurang faham, saya akan segera bertanya guru supaya saya terus dapat mengikuti pengajarannya.

              Selain itu, ibu bapa saya pula telah menghantar saya belajar ke kelas tambahan sebanyak dua kali seminggu untuk memastikan saya cemerlang dalam pelajaran. Saya amat berterima kasih atas usaha mereka itu. Saya berazam akan belajar bersungguh-sungguh untuk tidak menghampakan harapan kedua-dua ibu bapa saya.

               Di samping itu, saya juga selalu pergi ke perpustakaan sekolah dan Perpustakaan Awam Bahau untuk meminjam buku-buku rujukan. Biasanya saya akan pergi ke Perpustakaan Awam Bahau pada hujung minggu sekiranya ada kelapangan masa. Di situ juga saya boleh berbincang dengan kawan-kawan tentang topik-topik yang agak sukar dan bertukar-tukar nota.

              Itulah antara persediaan saya untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Saya berharap kita akan dapat menjawab soalan dengan mudah dalam peperiksaan itu nanti. Sama-samalah kita berdoa agar mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut dan seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran ke salah sebuah sekolah menengah yang terpilih.

              Setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan buat tatapan saudara kali ini. Akhir sekali, sambutlah salam ingatan saya untuk saudara serta keluarga.


                                                                                                             Sahabatmu,

                                                                                                             .............................
                                                                                                             (Siti Rogayah binti Mansor)



------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Format Karangan Jenis Laporan


Tajuk Laporan   
:  Hendaklah ditulis dengan huruf besar pada setiap awal kata dan digariskan. Tajuk juga boleh ditulis dengan huruf besar. Jika tajuk terlalu panjang, boleh ditulis dalam dua baris.

Isi Laporan              
:  Bermula dengan pendahuluan, dilengkapi dengan beberapa isi dan diakhiri dengan penutup. Isi laporan ditulis dan dikembangkan mengikut perenggan.

Pengakuan Pelapor 
:  Ditulis di sudut kiri selepas perenggan terakhir. Ditandakan dengan koma (,).

Tarikh
: Ditulis di sudut kanan laporan,setentang dengan pengakuan pelapor. Dibubuh noktah (.) di hujungnya.

Tandatangan
: Ditulis di sudut kiri bahagian bawah selepas pengakuan pelapor.

Nama Pelapor        
: Ditulis dengan huruf besar di dalam kurungan selepas tandatangan.

Jawatan Pelapor     
:  Ditulis di sudut kiri bahagian bawah laporan dan dibubuh tanda koma di hujungnya. Seterusnya ditulis nama persatuan yang diwakili.


Contoh Karangan



Temasya Sukan Tahunan
Sek Keb Palong 8 (F) 2012


Pada 27 September yang lalu, kami mengadakan Temasya Sukan Tahunan kali ke-15. Temasya Sukan ini bermula pada pukul 2.00 petang hingga 6.00 petang. Bagi memberkati majlis, Ustaz Zuhdi telah membacakan doa. Selepas itu Guru Besar menyampaikan ucapannya. Beliau menasihati murid-murid agar bersungguh-sungguh mengambil bahagian dalam acara yang dipertandingkan.

   Temasya sukan dimulakan dengan acara perbarisan rumah sukan. Selepas itu, acara 100m, 200m, 4x100m, 4x200m, sukaneka, acara padang dan sebagainya diadakan. Saya telah menyertai perbarisan rumah kuning.

  Setelah selesai semua acara yang dipertandingkan, tibalah masa yang ditunggu-tunggu iaitu acara penyampaian hadiah kepada para pemenang. Johan keseluruhan ialah rumah biru. Syazwan muncul sebagai olahragawan sementara olahragawati ialah Effa Shahwani. Johan perbarisan ialah rumah biru.

   Semua ibu bapa, guru dan murid-murid di jemput ke kantin untuk menikmati hidangan yang disediakan oleh pihak kantin. Makanan dihidangkan ialah mee goreng dan air mineral.

  Saya berharap agar temasya sukan ini akan diadakan lagi pada tahun hadapan dengan lebih meriah lagi.

 
Laporan disediakan oleh,                                                                                      1 OKTOBER 2012

......................
(NURUL ATIQAH)
SETIUASAHA
RUMAH KUNING
SEKOLAH KEBANGSAAN PALONG 8 (F)

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Format Karangan Jenis Peribahasa


Biar Lambat Asal Selamat

Peribahasa ‘Biar Lambat Asal Selamat’ membawa maksud sesuatu pekerjaan yang hendak dibuat biarlah dibuat dengan cermat dan berhati-hati supaya pekerjaan itu berhasil dengan baik.

Ada sesetengah orang kurang sabar dalam melakukan sesuatu kerana pelbagai sebab sehingga mereka mengabaikan akibatnya.

Sebagai contoh, seorang pemandu yang memandu kenderaannya dengan laju kerana ingin segera sampai ke destinasi, akhir mengalami kemalangan di jalan raya.

Setelah terjadi kemalangan, pemandu itu tentu menyelasal kerana memandu dengan laju. Ketika itulah dia akan terfikir perkara itu tidak akan terjadi jika dia sabar dan cermat ketika memandu.

Peribahasa di atas adalah satu contoh yang paling baik dalam kehidupan kita seharian. Orang yang selalu mengamalkan peribahasa ini tidak mudah ditimpa bencana dalam setiap tindakan yang dilakukannya, kecualilah jika itu sudah ditakdirkan tuhan. 




------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Format Karangan Jenis Melengkapkan Cerita


 Kunci basikalku hilang
 
Aku baru selesai menghadiri kelas tambahan. Aku segera mengambil basikalku di tempat letak basikal. Tiba-tiba .....
***   ***   ***   ***   ***

Aku baru selesai menghadiri kelas tambahan. Aku segera mengambil basikalku di tempat letak basikal. Tiba-tiba aku dapati kunci basikal aku hilang. Aku berasa sungguh bimbang.

Aku mencari kunci basikalku di tempat letak basikal. Malangnya kunci basikalku tiada. Jam tangan aku menunjukkan hampir pukul 3.00 petang. Aku berasa sangsat takut.

Aku terus pergi ke pondok telefon yang berhampiran.Mujurlah aku mempunyai wang syiling. Aku menelefon ibuku. Aku memberitahu ibu tentang kehilangan kunci basikalku. Ibuku menyuruhku menunggu di sekolah.

Tidak lama kemudian, ibuku pun datang. Ibu dan aku mengangkat basikal lalu memasukkan ke dalam kereta.

Ibuku membawa aku ke kedai membuat kunci. Ibuku menempah kunci baru untuk basikalku. Selepas beberapa minit, kunci baru siap dipasang. Aku berasa sungguh gembira. Ibuku menasihati aku agar tidak cuai lagi.

Semenjak kejadian itu menimpaku, ibu dan bapaku melarang aku menunggang basikal ke sekolah lagi. Aku dihantar oleh ayah ke sekolah. Aku berasa sungguh sedih kerana tidak dapat berbasikal ke sekolah bersama rakan-rakanku lagi.